Semarakan Kemerdekaan

Semarakan Kemerdekaan
Semarakan Bulan Kemerdekaan Kibarkan Jalur Gemilang

Thursday 29 August 2013

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke 56

PEMAHAMAN SEJARAH PERTINGKAT PENGHAYATAN KEMERDEKAAN NEGARA




Penghayatan terhadap erti kemerdekaan menuntut kita mengenali sejarah negara. Ia penting supaya kita dapat memperkukuh jati diri serta mengetahui cabaran-cabaran  yang boleh merentap dan memusnahkan kemerdekaan dan kedaulatan negara tercinta ini. Sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pernah menyebut bahawa generasi muda hanya akan benar-benar dapat menghayati erti kemerdekaan apabila mereka faham mengenai sejarah negara, kedudukan diri sendiri, kedudukan negara, masyarakat, rantau dan dunia.

Menurutnya, generasi muda tidak harus terlalu terikut arus pemodenan secara membuta tuli. Sebaliknya mereka perlu menyedari dan memahami bagaimana kita sampai kepada kedudukan sekarang. Jika ini dapat difahami secara jelas oleh generasi muda maka akan terbina semangat patriotisme yang membara di dalam sanubari mereka.
Pada hemat penulis kealpaan dalam memahami sejarah negara boleh mengundang “malapetaka” kerana generasi yang membesar tanpa pengetahuan dan pemahaman terhadap sejarah tanah airnya akan kehilangan jati diri dan semangat patriotisme. Ini sekali gus boleh meletakkan pembinaan negara bangsa umpama ‘sarang labah-labah’ yang rapuh serta senang dimusnahkan oleh musuh.
Justeru, kita bimbang sekiranya kefahaman terhadap sejarah tanah air tidak dititikberatkan maka tidak mungkin semangat sayang dan cintakan negara itu dapat dibina dalam kalangan generasi muda hari ini. Oleh itu mata pelajaran sejarah harus diajar dan dihayati sejak peringkat sekolah rendah lagi. Subjek sejarah harus dirangka dengan berkesan di peringkat sekolah menengah dan pengajian tinggi supaya setiap warganegara mengenali dan memahami sejarah tanah airnya secara mendalam.
Bayangkan apa akan terjadi kepada bangsa dan tanah air kita pada masa depan sekiranya generasi hari ini yang bakal memimpin negara suatu hari nanti tidak mengenali sejarah serta tidak memiliki jati diri yang teguh dan kukuh dalam mengemudi negara ini. Justeru, sempena menyambut bulan kemerdekaan yang ke-55 ini, janganlah generasi muda hanya tahu berkumpul dan melaung kemerdekaan tanpa menghayati maknanya kerana ia tidak memberikan kesan kepada mereka.
Sambutan kemerdekaan itu hendaklah melambangkan jiwa yang merdeka. Oleh itu, kita tidak boleh menerima sikap sesetengah kumpulan anak muda yang menyambut hari merdeka dengan menjadikan hiburan dan pesta yang di luar batas moral hingga mencemarkan identiti diri serta tidak melambangkan jiwa yang merdeka.Sambutan yang sedemikian rupa adalah sambutan yang kontang dari penghayatan kemerdekaan yang sebenarnya. Ia tidak termasuk dalam watak umat atau bangsa yang merdeka.
Apatah lagi remaja dan belia Islam yang sepatutnya menjadikan sambutan kemerdekaan sebagai lambang kecintaan yang jujur kepada negara, agama dan maruah bangsa. Sebagai umat Islam, kita harus menghayati pesan Rasulullah SAW yang bermaksud, “kasihkan watan itu sebahagian daripada iman”. Dari maksud hadis nabi itu, jelas kepada kita bahawa semangat patriotisme adalah elemen penting dalam mempertahankan kemerdekaan negara.
Demikian juga ulama besar alam Melayu dari Patani,  Syeikh Daud Abdullah al-Fatani pernah mengingatkan kita bahawa mempertahankan negara daripada penjajahan ataupun tekanan kuasa asing adalah fardu ain hukumnya. Justeru, usaha menanamkan kefahaman kepada generasi muda bahawa hakikat kemerdekaan yang sepatutnya ada dalam sanubari mereka ialah  ‘kemerdekaan jiwa’.
Maksud ‘kemerdekaan jiwa’ ialah kita bebas daripada belenggu serta anasir yang mengongkong pemikiran dan budaya hidup yang merosakkan sendi-sendi kehidupan dan peradaban bangsa.  Jiwa yang merdeka adalah jiwa yang bebas daripada segala bentuk penjajahan budaya songsang yang boleh memusnahkan jati diri dan maruah bangsa. 
Orang yang merdeka jiwanya adalah orang yang dapat mempergunakan akal fikiran atau minda secara  positif, melaksanakan sesuatu tindakan mengikut tatasusila yang berlandaskan nilai-nilai budaya bangsa dan ajaran agama yang baik.
Jika generasi seperti ini dapat kita bina maka usaha untuk mentransformasikan  negara ini pasti tercapai tanpa mengorbankan jati diri bangsa. Manakala, pembangunan yang dicapai itu pula akan menjadi seimbang antara material dan spritual. Pemimpin dan rakyat yang merdeka jiwanya  tidak mudah dibeli maruah oleh kuasa asing serta tidak mudah dibuai dengan nilai dan kemewahan kebendaan semata-mata

No comments:

Post a Comment